Antara Ayat-Ayat Tentang Burung Di Dalam Al-Quran
Diantara haiwan yang banyak 
disebut di  dalam al-Qur'an ialah burung. Kisah mengenainya dimulakan 
dengan  menurunkan dua ayat berbunyi,
 "Tiada makhluk yang merayap di  bumi, tiada burung yang terbang 
dengan sayap-sayapnya, melainkan mereka  adalah  umat-umat yang serupa 
dengan kamu." (6:38)
"Tidakkah mereka merenungkan burung-burung yang di atas mereka mengembangkan sayap-sayap mereka, dan mengatupkannya? Tiada yang menahan mereka kecuali Yang Pemurah." (67:19)
Burung-burung didapati bersolat dan menyanjung Allah. Dia menjelaskan,
"Tidakkah  kamu melihat bagaimana segala yang di langit dan di 
bumi menyanjung  Allah, dan burung-burung mengembangkan sayap-sayap 
mereka? Masing-masing  - Dia mengetahui solatnya, dan sanjungannya; dan 
Allah mengetahui apa  yang mereka buat." (24:41)Mereka boleh dijinakkan. Cerita-cerita yang berkait dengan mereka didapati di dalam lima kisah Nabi, iaitu Ibrahim, Yusuf, Daud, Sulaiman dan Isa.
Dalam kisah  Nabi Ibrahim, mereka disebut apabila Nabi 
Ibrahim menyeru Tuhan supaya  diperlihatkan kepadanya bagaimana Dia 
menghidupkan orang-orang yang  mati. Dia menjelaskan dengan suatu 
suruhan supaya iktibar diambil  daripadanya.
Suruhan-Nya berbunyi,"Ambil empat ekor burung, dan jinakkanlah mereka kepada kamu, kemudian letaklah sebahagian mereka di atas tiap-tiap bukit, kemudian panggilah mereka, dan mereka akan datang kepada kamu dengan segera." (2:260)
Nabi Yusuf pula diminta interpretasi mimpi bagi seorang daripada dua banduan yang dipenjara bersamanya. Dia bermimpi membawa roti di atas kepalanya dan burung-burung memakan sebahagian daripadanya (12:36).
Mimpi itu dihuraikan dengan Nabi Yusuf menyatakan bahawa,
"dia akan disalib, dan burung memakan sebahagian kepalanya." (12:41)
Kepada Nabi Daud, Tuhan telah membuatkan gunung-gunung dan burung-burung memuji-Nya bersamanya (34:10). Dan burung-burung selanjutnya ditundukkan kepadanya:
"burung-burung dalam keadaan berkumpul, masing-masing kembali kepadanya." (38:19)
Anaknya, Nabi Sulaiman, telah diajar percakapan burung (27:16), yang menjadi satu daripada barisan-barisan dalam tenteranya, selain jin dan manusia (27:17). Burung hud-hud berperanan sebagai peninjau yang membawa balik berita mengenai sebuah negeri, Sabak, yang diperintah oleh seorang perempuan (27:22). Hud-hud kemudiannya diperintah membawa sepucuk surat daripada Nabi Sulaiman kepada pemerintah tersebut.
Dan Nabi Isa, sebagai satu daripada mukjizatnya, telah membuat dengan tanah liat suatu imej berbentuk seekor burung, kemudian dia menghembus ke dalamnya lalu bentuk itu menjadi seekor burung yang hidup (3:49).
Burung-burung, bersama beberapa haiwan lain, seperti yang sedia maklum, telah sejak dari zaman dahulu lagi dilatih untuk berburu. Begitu kata Allah berbunyi "daripada binatang berburu yang kamu mengajari" (5:4).
Kecerdikan burung diriwayatkan lagi di dalam al-Qur'an. Seekor burung gagak telah dikirim oleh Allah kepada seorang anak Adam untuk mengajar cara mengebumikan mayat saudaranya yang dibunuhnya. Burung itu menunjukkan dengan mencakar-cakar tanah (5:31).
Allah juga telah mengutus burung-burung untuk menghancurkan sebuah angkatan tentera bergajah.
"Dan Dia mengutus kepada mereka burung-burung berduyun-duyun, dengan membalingkan kepada mereka batu-batu daripada tanah liat yang dibakar," (105:3-4).
Sesetengah daging burung baik dimakan, seperti burung puyuh (salwa), yang diturunkan Allah kepada Nabi Musa dan pengikut-pengikutnya semasa dalam pelarian (2:57, 7:161, 20:80). Kerana keistimewaan daging burung, ia akan menjadi satu daripada hidangan yang diinginkan di syurga. Firman-Nya,
"Dan daging burung, seperti yang mereka menginginkan," (56:21).
Untuk mengakhiri perbincangan mengenai burung, diturunkan sebuah misal daripada Allah berbunyi,
"sesiapa  menyekutukan Allah, ia seakan-akan dia jatuh dari langit 
dan  burung-burung menyambarnya, atau angin menerbangkannya ke dalam 
sebuah  tempat yang jauh." (22:31)
Kisah tentera bergajah yang  diceritakan tadi dilengkapkan 
dengan ayat- ayat di bawah, yang  mengandungi satu-satunya perkataan 
gajah di dalam al-Qur'an:
"Tidakkah  kamu melihat bagaimana Pemelihara kamu buat terhadap 
Orang-Orang Gajah?  ..... Dia membuatkan mereka seperti daun yang 
dimakan." (105:1-5)Sumber Text: Burung Haiwan Istimewa
أَلَمْ تَرَ أَنَّ اللَّهَ يُسَبِّحُ لَهُ مَن فِي السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَالطَّيْرُ صَافَّاتٍ كُلٌّ قَدْ عَلِمَ صَلَاتَهُ وَتَسْبِيحَهُ وَاللَّهُ عَلِيمٌ بِمَا يَفْعَلُونَ
Tidakkah kamu tahu bahwasanya Allah: kepada-Nya bertasbih apa yang di langit dan di bumi dan (juga) burung dengan mengembangkan sayapnya. Masing-masing telah mengetahui (cara) sembahyang dan tasbihnya, dan Allah Maha Mengetahui apa yang mereka kerjakan.
(Surah An-Nur 24: Ayat ke 41)
Sumber : Iluvislam.com
 
 
 


 
 
 
0 komentar:
Post a Comment